Klik Me ! ! !
Followers
Monday, September 29, 2014
Sunday, September 28, 2014
PERKEMBANGAN KENDIRI
KONSEP KENDIRI DAN PERSONALITI
PENGENALAN KONSEP KENDIRI
Setiap individu mempunyai anggapan terhadap diri sendiri dan bagaimana orang lain memandang kepada dirinya. Konsep kendiri boleh dirumuskan sebagai persepsi diri dari segi penilaian, pandangan, tanggapan, kepercayaan, terrmasuk kekuatan dan kelemahan diri sendiri iaitu gambaran tentang rupa, kesihatan, kebolehan, dan tingkah laku kendiri seseorang individu. Ini dibentuk hasil daripada interaksi individu dengan orang lain dan penyesuaian diri dengan alam sekitar. Oleh kerana itu, konsep kendiri merupakan satu elemen yang sangat penting dalam diri setiap individu kerana ia akan digunakan untuk meramalkan apa yang akan berlaku terhadap individu tersebut pada masa hadapanSelain itu, konsep kendiri juga banyak membantu individu untuk membuat keputusan dan menentukan tindakan yang bakal diambil pada masa hadapan. Dalam kehidupan seharian seseorang individu, mereka akan menempuh pelbagai bentuk interaksi dengan persekitarannya. Oleh kerana itu, individu tersebut akan membuat keputusan dan menentukan apakah tindakan yang akan diambil olehnya. Apabila berlaku interaksi dengan persekitarannya, maka konsep kendiri akan timbul dan mula terbentuk dalam diri setiap individu itu.Konsep Kendiri juga amat berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Secara amnya, sebagai seorang guru atau pendidik yang bertanggungjawab mestilah memahami dan mengamalkan konsep kendiri ini dalam kehidupan seharian. Seseorang pelajar dikelilingi oleh persekitaran sosial yang bertindak mempengaruhinya membuat keputusan dan menentukan masa depan. Agen-agen persekitaran seperti ibu, bapa, guru dan rakan sebaya adalah agen yang mempengaruhi seseorang pelajar. Agen-agen tersebut membantu seseorang pelajar bertindak hasil daripada apa yang difikirkan dalam mindanya. TEORI KONSEP KENDIRI
Pandangan konsep kendiri dari sudut teori menurut Carl rogers (1950), ia menyatakan diri dimana individu itu sendiri berikan kepada dirinya sendiri secara sedar apabila menggunakan perkataan “saya” atau “aku”. Manakala Vernon (1980) pula menyatakan personaliti ialah pandangan kekuatan dan kelemahan diri sendiri serta disokong dengan maklum balas tentang dirinya daripada orang lain. Konsep kendiri tersebut akan menjadi sesuatu yang penting kerana konsep tersebut akan digunakan untuk meramal masa depannya atau tindakan yang bakal diambil. Menurut Stewat dan Friedman (1987), menghuraikan konsep kendiri sebagai tanggapan individu terhadap identitinya yang berbeza dengan individu yang lain sejak peringkat bayi. Manakala pendapat Amir Awang (1991) pula, menyatakan ianya integrasi penilaian diri sendiri, penilaian orang lain dan penilaiannya tentang tanggapan orang lain terhadap dirinya.
JENIS-JENIS KONSEP KENDIRI
Terdapat dua jenis konsep kendiri iaitu konsep kendiri positif dan negatif. Berikut akan dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai kedua-dua konsep kendiri tersebut. KONSEP KENDIRI POSITIF
Konsep kendiri positif bermaksud seseorang itu percaya dan yakin kepada diri sendiri secara lebih sihat, mempunyai minat yang baik dan objektif serta tidak terlalu sensitif. Ia juga meliputi sikap terbuka dan memberi pandangan jika wujud keadaan yang tidak baik dan stabil di mana ia boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi. Jika kita perhatikan seseorang yang sering di kaitkan dengan kejayaan dalam hidup ialah mereka yang dapat membina konsep kendiri yang positif. Mereka yang mempunyai konsep kendiri yang positif ini sentiasa menerima layanan dan perhatian yang baik sama ada daripada ibu bapa sendiri, keluarga, guru, rakan-rakan mahupun orang yang berada di persekitarannya.Individu ini akan sentiasa mengalami lebih banyak kejayaan berbanding dengan kegagalan. Individu ini juga tidak mudah melatah atau mengalah dan sanggup menghadapi sebarang cabaran dan dugaan dan sekiranya berlakunya kegagalan, akan diterimanya dengan tenang dan tabah. Selain itu individu ini bersifat optimistik, lebih terbuka sikapnya serta sedia menerima pendapat dan kritikan orang lain.Semangat dan iltizam yang tinggi merupakan elemen yang penting kepada individu yang berkonsep kendiri positif. Mereka akan menghadapi cabaran dengan penuh semangat serta percaya kepada kebolehan diri dan tidak mudah mengalah atau berputus asa. Mereka juga sentiasa berfikiran positif dan menjadikan cabaran sebagai semangat untuk terus berjaya dalam hidup.Di samping itu, perasaan gembira dan riang adalah perasaan seorang individu yang mempunyai konsep kendiri positif. Mereka pandai menyembunyikan masalah walaupun mereka mempunyai banyak masalah serta tidak pernah mengeluh dan menganggap masalah tersebut sebagai satu cabaran yang perlu diatasi. Mereka akan rasa sangat gembira jika masalah tersebut dapat diatasi dan sekiranya tidak, mereka akan merujuk serta meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai dan memahami diri mereka.Di samping itu, individu berkonsep kendiri positif mempengaruhi orang lain dengan menunjukkan ciri-ciri konsep kendiri positif seperti bertanggungjawab, bangga dengan kejayaan, selalu gembira serta menghadapi cabaran dengan semangat. Mereka dapat mempengaruhi orang lain dalam usaha mendapat tempat dalam kalangan masyarakat atau membuat keputusan.Sifat menghargai meliputi menghargai diri sendiri dan orang lain. Individu berkonsep kendiri positif akan membentuk sikap menghargai kebolehan, pencapaian, kewibawaan diri dan dalam masa yang sama mampu menghargai orang lain. Memberi pujian dan penghormatan kepada orang lain akan menambahkan lagi pengaruh kerana orang yang diberi penghargaan akan merasa dihargai dan diambil berat.Tambahan pula, individu yang pemurah dan suka membantu orang lain merupakan individu yang mempunyai konsep kendiri positif. Mereka merasa bertanggungjawab untuk menghulurkan bantuan dan menyelesaikan masalah mereka yang memerlukan. Perbuatan ini sangat mulia dan patut ada dalam setiap diri individu. Akhir sekali, individu yang mempunyai sifat-sifat diatas didapati senang mendapat kawan dan disenangi oleh orang persekitaran. Ramai orang suka mendampingi mereka kerana sikap mereka yang tidak sombong, pandai menghargai rakan dan sentiasa membantu orang yang memerlukan bantuan.
KONSEP KENDIRI NEGATIF
Jika dilihat pula kendiri negatif merupakan individu yang sering dikaitkan dengan kegagalan sama ada dalam apa bidang sekali pun biasanya tidak lari daripada mempunyai konsep kendiri yang negatif. Berbeza penampilannya dengan individu yang mempunyai konsep kendiri yang positif di mana individu jenis ini akan sentiasa berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat merajuk serta perasaannya mudah tersinggung. Individu seperti ini sering dimarahi ataupun dikritik sama ada oleh ibu bapa, guru, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang berada di persekitarannya.Mereka juga kurang menerima kasih sayang atau perhatian. Mereka biasanya kurang diterima oleh guru, rakan sebaya mahupun orang lain. Keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan di mana individu tersebut akan berasa dirinya mempunyai aras keyakinan yang rendah. Seterusnya keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan akan membentuk sifat rendah diri dalam dirinya. Akibat daripada itu individu tersebut akan menjadi seorang yang pasif, sentiasa dalam keadaan yang muram dan tidak mudah untuk bergaul dengan orang lain atau tidak mahu bersosialisasi dengan persekitarannya.Mereka yang tergolong dalam golongan individu yang mempunyai konsep kendiri negatif ini lazimnya suka melakukan kerja-kerja yang mudah dan senang untuk menjamin kejayaan. Mereka juga suka bergaul dan bermain dengan individu yang lebih muda darinya dan yang mempunyai kemampuan intelektual yang rendah. Apa yang amat menyedihkan, individu ini amat mudah dipermainkan oleh orang lain.Di samping itu, individu itu juga akan mudah putus asa apabila menemui kegagalan. Lama-kelamaan, dia akan bersikap pasif dan tidak lagi mahu berusaha. Mereka kurang jelas berkenaan konsep kendiri. Menurut Kernis, Brocker, dan Frankel (1989), mereka sentiasa memikirkan sesuatu yang buruk atau tidak baik pada diri mereka, sentiasa menetapkan sasaran yang tidak wujud ataupun tidak mungkin dicapai dan bersikap pesimistik dengan masa depan, bertingkah laku buruk ataupun beremosi pada pendapat, pandangan ataupun kritikan orang lain Sebagai contoh, sekiranya individu gagal dalam menyelesaikan masalah, dia cenderung membuat penilaian negatif pada diri sendiri. Mereka akan berputus asa dan hilang keyakinan.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KONSEP KENDIRI POSITIF DAN NEGATIF
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan terbentuknya konsep kendiri positif dan negatif pada setiap individu. Antaranya ialah pertama, faktor dari sifat semulajadi. Iaitu dari aspek baka dan juga penglibatan diri sendiri. Baka yang baik sama ada dari segi keadaan mental dan fizikal akan memberi kesan kepada perkembangan konsep kendiri yang positif. Hal ini adalah kerana tubuh badan dan minda yang sihat sangat mempengaruhi tingkah laku seseorang individu. Sebaliknya jika seseorang itu mengalami perkembangan konsep kendiri yang negatif sebagai contohnya mempunyai masalah kecacatan yang diwarisi semasa lahir iaitu seperti kerosakan mental dan sebagainya. Manakala dari segi penglibatan diri bergantung pada setiap individu tersebut dalam penglibatan dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukannya. Individu yang mempunyai persepsi positif terhadap diri sendiri dapat menerima semua perkara tentang dirinya dengan baik. Hal ini yang demikian persekitaran di sekeliling individu juga merangkumi pengalaman awal ketika memasuki alam persekolahan, media massa, budaya serta adat resam dan persepsi masyarakat sekitar. Kedua, faktor dari segi ‘role model’ iaitu peranan ibu bapa, guru dan rakan sebaya. Ibu bapa adalah insan yang paling penting dalam kehidupan seseorang individu. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan menerapkan nilai-nilai murni serta menunjukkan peribadi yang baik agar menjadi contoh kepada anak-anak mereka. Secara tidak langsung kanak-kanak tersebut mempunyai perkembangan konsep kendiri yang positif sejak dari kecil lagi melalui ibu bapa mereka. Manakala jika sebaliknya berlaku iaitu ibu bapa tidak menunjukkan contoh teladan yang baik maka anak-anak mereka akan mengalami perkembangan konsep kendiri yang negatif.Rakan sebaya juga memberi pengaruh yang sangat besar. Ramai para remaja yang terlibat dengan gelaja yang tidak sihat disebabkan terpengaruh dengan rakan sebaya yang tidak bermoral. Individu yang mudah terpengaruh dengan orang lain adalah individu yang tidak mempunyai jati diri atau konsep kendiri positif yang kukuh. Selain itu, guru juga boleh mempengaruhi perkembangan konsep kendiri positif kepada kanak-kanak. Mereka bertanggungjawab dalam mendidik kanak-kanak tersebut dengan membantu mereka membina konsep kendiri yang positif dan melarang mereka daripada melakukan hal yang tidak sepatutnya.Ketiga dari segi faktor persekitaran seperti sebaran am, budaya serta persepsi dari orang lain. Pengaruh sebaran am seperti rancangan televisyen dan sumber internet memainkan peranan yang penting dalam perkembangan konsep kendiri yang positif dan negatif kepada penonton. Maklumat yang berunsurkan ilmu pengetahuan dapat membentuk perkembangan konsep kendiri yang positif daripada segi agama dan moral. Media massa juga turut memberi pengaruh kepada perkembangan konsep kendiri yang negatif kepada remaja seperti terdapat rancangan televisyen cerita dari barat yang memaparkan unsur-unsur negatif seperti budaya kuning yang merupakan budaya masyarakat barat yang mengamalkan gaya hidup bebas. Akibatnya, golongan remaja terdedah dengan pengaruh negatif daripada luar dan mempunyai konsep kendiri yang negatif.Dari sudut budaya pula kebudayaan yang berbeza memang mempunyai norma dan nilai yeng berbeza. Penekanan terhadap satu-satu nilai didalam sesebuah kebudayaan tertentu akan mempengaruhi perkembangan kendiri pada setiap individu juga. Didalam kebanyakan kebudayaan, banyak ditekankan mengenai nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bertoleransi dan tolong-menolong yang ditekankan. Individu yang dibesarkan dengan kebudayaan seperti ini tentu mempunyai kendiri yang positif dan akan menonjolkan personaliti yang seimbang.Seterusnya yang keempat merupakan faktor dari segi kepercayaan seperti agama, keselamatan, kasih sayang dan juga kehormatan diri. Setiap individu yang berpegang teguh pada agama akan menonjolkan perkembangan kendiri yang positif dalam diri mereka. Di samping itu, aspek keselamatan diri adalah aspek yang tidak boleh dipandang ringan. Kanak- kanak akan menjalani hidup mereka secara sihat tanpa rasa terancam jika sentiasa dilindungi oleh orang di sekelilingnya. Namun, jika kanak-kanak tersebut hidup dalam keadaan bimbang dan takut akibat tekanan persekitaran mereka mungkin akan mengalami masalah dalam diri.Selain itu, kasih sayang adalah aspek yang penting dalam kehidupan manusia, khususnya kepada kanak-kanak yang masih kecil. Dengan kasih sayang yang diberikan oleh keluarga dan orang sekeliling, mereka akan sentiasa gembira dan selamat bagi membina konsep kendiri yang positif. Contohnya, sifat penyayang, saling sayang-menyayangi dan sebagainya.Akhir sekali, penghormatan diri hendaklah diperlihara oleh setiap individu. Khususnya, golongan remaja. Jika mereka sentiasa menjaga kehormatan diri, mereka dapat mencegah diri daripada terlibat dengan perkara yang tidak bermoral. Sifat malu melakukan perkara yang tidak bermoral adalah konsep kendiri yang positif yang harus ada dalam diri seseorang individu. Hal ini adalah kerana sifat malu dapat membuatkan seseorang individu menjaga maruah dirinya daripada tercemar.
CARA-CARA GURU MEMBANTU PEMBENTUKAN KONSEP KENDIRI POSITIF
Faktor sekolah dan persekolahan telah memberi sumbangan terhadap pembentukan dan perkembangan personaliti murid-murid. Tenaga pendidik telah diberikan tanggungjawab untuk membentuk personaliti pelajar-pelajar selain daripada ibu bapa mereka. Seorang guru yang sensitif dan peka perlu menjaga konsep kendiri murid-muridnya. Contohnya guru perlu mengembangkan potensi yang sedia ada dalam murid-murid samada dalam bidang akedemik, kesukanan, bidang seni dan sebagainya. Guru juga tidak boleh membandingkan antara murid-muridnya kerana setiap murid adalah berbeza dan unik. Seorang guru juga tidak boleh melabel seperti murid ‘pandai’ dan murid ‘lembab’ atau sebagainya. Ini lambat laun murid-murid akan mempercayai bahawa mereka betul-betul lembab dan tidak berguna. Guru mesti pandai menggunakan penilaian yang pelbagai kerana prestasi akademik murid sentiasa berubah.
PERKEMBANGAN PERSONALITI
Setiap individu adalah unik dan tiada seorang individu pun yang benar-benar menyerupai atau menyamai antara atau sama lain. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai personaliti yang tersendiri. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan antara setiap individu. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.Secara umum personaliti bermaksud sahsiah, keperibadian, atau perwatakan seseorang. Ia berasal daripada Bahasa Latin iaitu ‘persona’ yang bermaksud topeng muka yang digunakan oleh pelakon Yunani pada masa dulu untuk mewakili sesuatu perwatakan orang di pentas. Personaliti ialah ciri-ciri keseluruhan tingkah laku pada seseorang individu, tetapi berlainan dengan orang lain. Ia mewakili perwatakan seseorang individu dan dapat diperhatikan dan dinilai melalui tingkah laku. Di samping itu, ramai yang menyatakan personaliti adalah gerakbalas tingkah laku terhadap situasi tertentu. Oleh sebab itu, di kalangan ahli psikologi mempunyai pelbagai pendapat tentang pengertian personaliti.Menurut pendapat Alder,personaliti merupakan gaya hidup seseorang individu. Manakala Gordon Allport menyatakan personaliti sebagai organisasi sistem psikologi yang dinamik dalam jiwa individu. Ia akan menentukan ciri-ciri tingkah laku dan penyesuaiannya dengan alam persekitaran. Pandangan Crow and Crow pula menyatakan personaliti seseorang adalah perwatakan fizikal, corak pertuturan dan daya penarik yang dimilikinya. Menurut Gage dan Berliner pula, personaliti merangkumi segala aspek tingkah laku manusia, keupayaan, sikap, pendapat, kepercayaan, kognitif dan emosi seseorang.Walau bagaimana pun konsep personaliti secara umumnya, manusia dapat dibezakan menerusi dua aspek iaitu kemampuan dan personaliti. Hal ini yang demikian, aspek kemampuan meliputi pencapaian dalam pembelajaran, kecerdasan dan bakat. Berlainan pula dengan aspek personaliti yang meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi. Oleh sebab itu, dapat kita dapat melihat perkaitan antara personaliti seseorang itu dengan konsep kendiri. Hal ini kerana, personaliti merupakan sifat-sifat atau ciri-ciri yang dimiliki oleh seseorang individu, seperti cara berfikir, dan beremosi yang membolehkan dirinya dibezakan dengan individu lain.Seterusnya, kita dapat perhatikan jika konsep kendiri seseorang itu positif, maka individu tersebut dapat menilai dan memberi pendapat mengenai dirinya secara sedar tentang kebaikan dan kekurangannya, serta dapat menerima maklum balas daripada orang lain. Hal ini jelas, menunjukkan bahawa saling perkaitan antara personaliti dan konsep kendiri amat ketara dalam diri setiap individu.Kesimpulannya, personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Hal ini setiap individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Dengan gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku yang ditunjukkan dan cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu untuk mengenali personaliti seseorang itu dengan lebih mendalam.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERSONALITI
Pelbagai faktor yang dapat mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Antaranya faktor kebakaan dan faktor persekitaran. Kebakaan melibatkan dengan kecerdasan, emosi dan juga bentuk tubuh. Pola genetik yang wujud pada masa persenyawaan mempengaruhi perkembangan personaliti individu. Contohnya, kerosakan otak yang diwarisi, kecacatan atau penyakit semasa lahir sangat mempengaruhi tingkah laku individu. Ini termasuklah faktor-faktor yang berhubung dengan bentuk tubuh badan seperti ketinggian, berat badan, warna kulit dan fungsi-fungsi kederiaan.Perhubungan dari segi emosi pula, ahli psikologi percaya dengan perhubungan emosi awal dengan ibu menghabiskan banyak masa bersama anak-anak mereka, maka mereka mempunyai peluang yang besar untuk mempengaruhi emosi anak-anak dan tingkah laku. Ibu juga merupakan model kepada anak-anak mereka. Emosi merupakan aspek yang mempengaruhi secara mendalam dalam gaya pembelajaran seseorang murid itu. Aspek ini perlu dipandang tinggi pengaruhnya kerana akan membawa kesan yang mendalam kepada pelajar.Manakala faktor dari segi persekitaran pula boleh dipengaruhi dari keluarga, rakan sebaya dan juga media massa. Pengaruh keluarga turut mempengaruhi personaliti kanak-kanak kerana masa kanak-kanak banyak diluangkan bersama keluarga. Keluarga yang dapat mewujudkan suasana kemesraan, kasih sayang, dan bertimbang rasa mempengaruhi perkembangan personaliti kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang baik kepada anak-anak apabila berinteraksi seperti bercakap, menunjukkan nilai-nilai murni serta memberi kasih sayang yang sepatutnya sewaktu perkembangan mereka. Ini dapat membantu kanak-kanak membina keyakinan diri seterusnya dapat membantu ke arah perkembangan personaliti yang positif. Latar belakang keluarga yang porak-peranda akibat penceraian dan perpisahan akan memberi kesan buruk kepada emosi kanak-kanak.Seterusnya dari pengaruh rakan sebaya juga adalah merupakan salah satu faktor yang terpenting didalam mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang. Ini kerana setiap rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri. Rakan sebaya juga adalah orang kedua terpenting selepas keluarga bagi remaja. Oleh sebab itulah kebanyakkan tindak tanduknya dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Samaada nilai ataupun sikap yang dibawa itu adalah yang positif ataupun yang negatif kepada.Selain itu juga, peranan media dan elektronik juga memainkan peranan penting dalam perkembangan personaliti individu pada hari ini. Zaman yang moden erta membangun ini, media massa adalah merupakan medium perhubungan yang terpenting didalam kehidupan seharian. Maka tidak hairan jika media massa juga memainkan peranan yang penting didalam membentuk perkembangan personaliti seseorang. Oleh sebab itu, pendedahan kepada media massa yang sihat adalah penting untuk menjamin perkembangan personaliti yang sihat. Jika kanak-kanak sentiasa didedahkan kepada tayangan video atau filem yang berunsurkan keganasan, kezaliman dan sebagainya, maka mereka akan bertendensi untuk berkelakuan yang lebih agresif. Sebaliknya jika kanak-kank lebih didedahkan dengan tayangan yang bercorak ilmiah seperti taman sesama dan sebagainya, akan dapat membantu perkembangan intelek seseorang pelajar.
KLASIFIKASI PERSONALITI
Menurut Carl Jung (1875-1961), manusia boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan berdasarkan personaliti peribadi iaitu introvert, ekstrovert dan ambivert. Ekstrovert merupakan seorang individu yang lebih suka kepada dunia luar berbanding dunia dalam. Individu yang mempunyai sifat ini biasanya terdiri daripada golongan yang agresif atau aktif di mana mereka suka bersosialisasi dan sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial. Mereka menyokong kepada perubahan dan bersifat optimis. Individu jenis ini suka bergaul dengan orang lain, bebas daripada kebimbangan dan tidak mudah malu. Namun mereka ini tidak suka terikat kepada sesuatu keadaan atau peraturan. Berbeza dengan introvert pula, individu yang mempunyai personaliti ini adalah orang yang bersifat pasif, emosional, pendiam dan kurang sosialisasi. Mereka lebih suka melakukan dan menyiapkan kerja secara individu tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Mereka mempunyai sifat yang serius, pemalu, tidak mempunyai cita-cita yang tinggi dan kurang mengambil inisiatif. Mereka juga kurang selesa terhadap perubahan tetapi suka kepada sistem hidup yang teratur atau sistematik. Oleh yang demikian, mereka ini biasanya selalu mengikut peraturan yang ditetapkan dan mempunyai disiplin yang tinggi. Manakala ambivert, individu daripada kumpulan ini mempunyai trait daripada kedua-dua jenis personaliti introvert dan juga ekstrovert. Mereka merupakan gabungan kedua-dua personaliti ini dan berkemungkinan bersifat seperti aktif, sensitif, optimistik suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum bercakap atau memberi pendapat dan suka kepada kehidupan yang teratur. Apa yang membezakan ialah kadang-kadang individu dipengaruhi secara dominan daripada salah satu sifat di atas. Jika dikaji dengan sebaik-baiknya, sebenarnya tiada individu yang terdiri daripada salah satu sifat-sifat di atas tetapi setiap individu itu mempunyai kedua-dua ciri-ciri personaliti ini. Setiap individu dikatakan mempunyai kedua-dua ciri-ciri ini kerana mereka akan menunjukkan tingkah laku berdasarkan keadaan atau situasi pada satu masa tertentu.
CARA-CARA MENGENDALIKAN PERSONALITI YANG BERBEZA
Faktor persekolahan telah memberi sumbangan terhadap pembentukan dan perkembangan personaliti murid-murid. Tenaga pendidik telah diberikan tanggungjawab untuk membentuk personaliti pelajar-pelajar selain daripada ibu bapa mereka. Setiap pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Ada pelajar yang suka belajar didalam keadaan yang bebas bergerak, ada yang suka belajar pada satu tempat sahaja dan banyak lagi gaya pembelajaran pelajar-pelajar. Namun begitu, guru handaklah mengenal pasti personaliti setiap pelajar serta mempunyai strategi-strategi pengajaran yang sesuai agar pelajar-pelajar dapat menerima apa yang diajarkan oleh guru.
PELAJAR INTROVERT
Guru berperanan penting dalam membentuk ciri-ciri personaliti yang positif terhadap murid-muridnya. Sudah tentu terdapat murid yang mempunyai ciri-ciri introvert. Bagi menangani masalah murid-murid yang mempunyai sifat introvert seperti pemalu, pendiam dan suka mengasingkan diri, guru hendaklah memastikan penglibatan murid perlu optima apabila berada di dalam kelas. Contohnya, bukan sahaja memastikan murid itu menjalankan kerja sekolah yang diberi malahan murid itu turut menjalankan tugasan yang tidak formal seperti membersihkan bilik darjah. Ini akan menggalakkan murid itu dapat bekerjasama dengan rakan yang lain semasa menjalankan tugas. Selain itu, guru perlu memberikan lebih pujian kepada mereka yang introvert. Bagi mereka yang mempunyai ciri introvert ini, dengan memberikan pujian kepada mereka, ini akan dapat mendorong mereka berasa lebih yakin dan berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang. Di samping itu juga, guru perlu sentiasa mengajukan beberapa soalan supaya dapat menimbulkan perasaan ingin tahu pelajar-pelajar terhadap sesuatu perkara dan mereka akan menyelesaikan persoalan-persoalan tersebut dengan sendiri. Terakhir adalah dengan mengadakan bengkel motivasi yang dikendalikan dari masa ke semasa. Tujuan bengkel motivasi ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan prestasi pelajar-pelajar supaya mereka yang mempunyai personaliti yang berbeza ini dapat dicungkil.
PELAJAR EKSTROVERT
Menangani pelajar ekstrovert pula, guru perlu mengadakan perbincangan berkumpulan dengan kerap. Bagi individu ekstrovert ini, perbincangan merupakan suatu kaedah yang begitu disukai oleh mereka dan ini dapat menimbulkan rasa minat untuk mereka belajar dengan bersungguh-sungguh. Di samping itu juga, guru boleh melantik mereka bagi membimbing murid sedarjah yang mempunyai ciri introvert dalam aktiviti kumpulan tersebut. Selain itu, guru perlu menggalakkan murid-murid ini mengemukakan soalan-soalan ketika proses pembelajaran di dalam kelas. Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa tugas seorang guru bukan sekadar sebagai tenaga pengajar malah lebih kepada seorang pembimbing. Guru yang bersifat pembimbing pasti dapat melahirkan para pelajar yang mempunyai personaliti yang penuh dengan nilai-nilai murni dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada agama, keluarga, masyarakat, nusa dan bangsa. Dalam bidang pendidikan bukan sahaja memerlukan guru yang hanya memiliki minat yang mendalam dalam kerjaya perguruan tetapi juga komited untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar mereka untuk membentuk personaliti yang unggul.
Perbezaan individu introvert dengan extrovert
PERANAN GURU DALAM MEMBENTUK PERSONALITI
Guru mestilah mengambil perhatian tentang perbezaan yang terdapat pada murid kerana setiap kanak-kanak adalah berbeza antara satu sama lain. Hal ini akan membawa kepada pembentukan konsep kendiri yang salah. Oleh itu guru mestilah memainkan peranan penting untuk membantu kanak-kanak dalam membentuk perkembangan personaliti yang baik. Satu peranan guru yang sangat penting ialah menolong membentuk personaliti baik dalam diri setiap orang murid. Personaliti guru memainkan peranan penting kerana ianya mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Personaliti guru sering menjadi perhatian pelajar-pelajar. Peranan seorang guru perlu peka dan sensitif terhadap personaliti murid-muridnya melalui pemerhatian dan juga interaksi bersama pelajar. Guru akan mengetahui personaliti murid-muridnya dengan memerhati gaya percakapan, cara bertindak, tingkah laku serta interaksi dan komunikasi murid di antara satu sama lain dalam bilik darjah. Guru yang mempunyai sifat sabar yang tinggi, mesra, bertimbang rasa, kesediaan mendengar, kesediaan menerima kritikan, rajin, adil, periang dan berdedikasi akan mencerminkan personaliti diri seseorang guru itu untuk menjadi pendidik yang sejati. Guru juga perlu mempunyai sifat yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan pembentukan personaliti yang baru bagi pelajar-pelajar.. Sifat kreatif dan inovatif yang ada pada guru itu, akan mewujudkan pengajaran guru yang lebih menyeronokkan, diminati dan meninggalkan kesan kepada pelajar dan secara tidak langsung mempengaruhi pelajar untuk terus belajar. Individu yang bergelar guru perlu sentiasa melakukan refleksi dan fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan semangat para pelajar. Oleh itu, peranan guru dalam pembentukan personaliti memerlukan guru yang mempunyai pakej personaliti yang lengkap, baik dan memenuhi etika bagi memartabatkan profession perguruan. Kesimpulannya guru sering menjadi penilaian bukan hanya kepada pelajar, malah juga dinilai oleh anggota masyarakat khasnya ibubapa.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, perkembangan konsep kendiri adalalah penilaian, pandangan, tanggapan, kepercayaan termasuk kekuatan dan kelemahan diri sendiri, keluarga, guru, sekolah, rakan sebaya dan warga masyarakat serta pengalaman yang sesuai dengan persekitaran. Dalam perkembangan kendiri terdapat dua aspek iaitu aspek personaliti dan konsep kendiri. Kedua-dua aspek ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Aspek personaliti merupakan gabungan daripada berbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitaranya. Personaliti seseorang dapat dikenali dengan cara tingkah laku, gaya percakapan dan sebagainya. Seterusnya, aspek konsep kendiri pula meliputi keseluruhan perkembangan personaliti seseorang individu. Aspek-aspek ini adalah penting bagi menimbulkan kesedaran guru pelatih terhadap kepentingan mempunyai konsep kendiri yang positif adalah sangat penting supaya dapat bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam dunia pendidikan. Bab ini sekali gus telah memberi pengetahuan kepada saya mengenai perbezaan konsep kendiri dan juga personaliti yang terdapat dalam diri setiap individu.
RUJUKAN
Mok Soon Sang (2008). Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran & Pembelajaran. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Mok Soon Sang (2008). Pengurusan Bimbingan & Kaunseling. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.Boon Pong Ying & Ragbir Kaur (1998). Psikologi II (Semester II). Kuala Lumpur: Penerbit fajar bakti Sdn. Bhd.Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (PhD) (2012). Pedagogi Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Edisi Pertama.Mok Soon Sang (2012), Perkembangan Kanak-Kanak. Puchong, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd. Edisi Ketiga.
Thursday, September 25, 2014
TEORI-TEORI KELUARGA
Mengikut Alias Baba (1990) tiga faktor yang mempengaruhi pembelajaran individu iaitu faktor latar belakang (persekitaran) keluarga, kebolehan dan sifat peribadi pelajar. Persekitaran adalah faktor luaran yang banyak mempengaruhi proses pembelajaran, manakala kebolehan pula lebih kepada kelebihan yang ada pada individu. Sifat peribadi yang menjurus ke arah kecemerlangan juga mempengaruhi pencapaian individu.
Leslie (1976) menganggap keluarga sebagai satu institusi sosial yang mengandungi undang-undang dan peraturan yang ditunjukkan ke atas manusia. Manakala Hurlock (1973) pula mengambarkan keluarga sebagai asas permulaan dalam pembentukan masyarakat. Keluarga sering dikaitkan dengan ibu dan bapa yang bertindak sebagai pengawal kepada anak-anak. Ikatan pertalian darah antara ibu bapa dan anak-anak merupakan ikatan yang sangat rapat di mana anak-anak mendapatkan kasih sayang, perlindungan dan pembelaan. Anak-anak pula terikat dengan norma-norma yang telah ditetapkan oleh ibu bapa sehingga secara langsung peraturan-peraturan ini akan dapat mempengaruhi tingkah laku anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.
intelektual, penekanan moral agama, organisasi keluarga dan kawalan keluarga.
Menurut Hannigge (1998) persekitaran yang efektif mestilah tiada risiko, menggalakkan pelajar-pelajar mengulangkaji, menguji dan menyelesaikan masalah tanpa merasa takut jika mereka gagal. Cara bermain boleh membentuk persekitaran yang tiada risiko. Peluang untuk bermain secara bebas atau had risiko dengan bahan-bahan sains boleh menjadikan pelajar-pelajar mempunyai keinginan dan bersedia untuk merima bermacam-macam keadaan. Keith (1982) mendapati penglibatan ibu bapa seperti menggalakkan anak-anak membuat kerja sekolah atau melibatkan diri dengan aktiviti pembelajaran di rumah, mempunyai kesan positif terhadappencapaian akademik kanak-kanak.
Maklumat tentang gaya pembelajaran murid akan memberikan kelebihan kepada guru terutama dalam menyediakan perancangan pengajaran yang berkesan. Gaya pembelajaran ialah penggunaan satu atau lebih taktik pembelajaran bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Justeru itu gaya pembelajaran bolehlah dilihat sebagai satu taktik-taktik pembelajaran yang akan digunakan dalam pelbagai kombinasi bagi melaksanakan tugas pembelajaran yang berbeza-beza. Perkara ini mungkin berbeza diantara satu individu dengan individu yang lain, bergantung kepada faktor persekitaran yang berbeza.
Gaya pembelajaran boleh didefinisikan sebagai operasi atau prosedur yang digunakan oleh pelajar untuk mengekalkan dan mengingat kembali berbagai jenis pengetahuan dan prestasi (Claxton & Charles 1987). Dalam keseluruhan proses pendidikan, kegiatan belajar merupakan satu kegiatan yang paling utama. Ini bermakna bahawa kejayaan setiap murid dalam bidang pelajaran sebenarnya amat bergantung kepada bagaimana proses belajar yang dialami oleh mereka.
Menurut Abdul Razak (1999) gaya pembelajaran adalah cara seseorang bertindak balas sewaktu menerima pelajaran mengikut tabiatnya atau sebagai petunjuk bagaimana seseorang murid mempelajari perkara yang digemari. Ia juga bertindak sebagai satu petunjuk yang stabil tentang bagaimana murid membuat persepsi, berinteraksi dan memberi tindak balas terhadap suasana pembelajaran yang melibatkan faktor kognitif, efektif dan fisiologi.Gaya pembelajaran juga mempunyai persamaan dengan cara berfikir di mana ia akan turut memberikan corak yang selalu diikuti semasa belajar.
Azizi Hj. Yahya, Shareeza Abdul karim dan Nordin Yahya (2003) dalam kajian mereka mengenai hubungan diantara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar pula mendapati bahawa gaya pembelajaran yang menjadi amalan pelajar ialah gaya pembelajaran Reflektor diikuti dengan Teoris, Pragmatis dan akhir sekali ialah Aktivis. Hasil kajian juga mendapati bahawa terdapat hubungan yang signifikan di antara perbezaan gaya pembelajaran dengan latar belakang keluarga dan juga terdapat hubungan yang signifikan di antara faktor rangsangan rakan sebaya, keluarga dan pengajaran guru dengan gaya pembelajaran pelajar.
Sebagai kesimpulannya, menurut Keefe (1979) keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dipertingkatkan jika guru memahami gaya pembelajaran pelajarnya. Ciri-ciri dan gaya pembelajaran merangkumi segala usaha dan perlakuan oleh murid-murid itu sendiri.
Bahagian ini akan membincangkan beberapa jenis gaya pembelajaran secara umum dan akan melihat corak dan gaya belajar individu berdasarkan sifat dan kriteria yang telah ditentukan bagi setiap gaya pembelajaran yang telah pun dikenal pasti.
Grasha dan Riechmann (1996) membina inventori gaya pembelajaran untuk menilai perbezaan dalam gaya pembelajaran di kalangan pelajar selepas tamat sekolah menengah yang ditumpukan kepada mahasiswa universiti. Inventori ini memberi tumpuan kepada pelajar berinteraksi dengan guru dan rakan dalam suasana pembelajaran. oleh itu, inventori ini dikategorikan sebagai indikator sosial dan bukan gaya kognitif (Hatcher 1999).
Model gaya pembelajaran Grasha-Riechmann (1996) telah menyenaraikan enam jenis gaya pembelajaran iaitu kepada tiga pasangan dwikutub yang berikut; mengelak atau melibatkan diri, bebas atau bergantung dan bekerjasama atau bersaing. Enam jenis gaya pembelajaran model Grasha-Reichman dihuraikan sebagai;
Model ini mengkategorikan murid kepada dua bentuk kecenderungan iaitu pengalaman konkrit atau konseptualisasi abstrak yang berkaitan dengan bagaimana mengaplikasikan sesuatu informasi dan pengkajian aktif atau pemerhatian reflektif bagi memahami informasi yang diperolehi. Gaya pembelajaran tersebut ialah;
(i) Gaya 1 – Konkrit dan Refleksi
Bentuk soalannya akan bermula dengan perkataan ‘kenapa’dan memberi tindakbalas yang baik pada penerangan yang akan disampaikan kemudian terutama yang berkaitan dengan minat, pengalaman dan karier pada masa depan.
(ii) Gaya 2 – Abstrak dan Refleksi
Bentuk soalan yang sesuai dalam gaya pembelajaran ini ialah‘apa’ dan akan memberi tindakbalas yang optimum kepada pengajaran. Pengajaran akan dapat ditingkatkan apabila murid diberi peluang untuk membuat refleksi mereka.
Bagi gaya pembelajaran yang ketiga ini bentuk soalan yang sesuai akan dimulakan dengan perkataan ‘bagaimana’. Dalam hal ini mereka akan sentiasa bekerjasama dan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Secara langsung proses peyelesaian masalah akan menjadi lebih mudah jika murid diberikan panduan dan bimbingan.
Akhirnya bagi gaya pembelajaran ini, bentuk soalan yang sesuai ialah ‘bagaimana jika’. Murid dikatakan gemar mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi baru terutama dalam konteks penyelesaian masalah. Selalunya murid akan memilih gaya pembelajaran yang sesuai dengan diri mereka .
Gaya pembelajaran yang beliau cadangkan dicadangkan berasaskan kepada konsep pembelajaran berdikari, unsur persaingan antara murid, penghasilan kerja berkualiti, usaha yang gigih dan pembelajaran yang terancang. Alat kajian yang digunakan bagi mengukur gaya pembelajaran murid dinamakan Inventori Pembelajaran di Sekolah. Selmes juga turut membincangkan secara terperinci mengenai latihan yang mana akan dapat menggalakkan murid untuk berdikari dan tidak semata-mata bergantung kepada orang lain. Terdapat lima gaya pembelajaran yang telah dikemukakan iaitu;
(ii) gaya pembelajaran permukaan
(iii) gaya pembelajaran dorongan
(iv) gaya pembelajaran gigih usaha
(v) gaya pembelajaran terancang
( Dunn, Dunn dan Price 1982). Seterusnya Dunn, Dunn dan Price (1985) menghasilkan inventori gaya pembelajaran bagi menilai gaya pembelajaran remaja gred tiga hingga gred dua belas (bersamaan tahun 3 hingga tingkatan 6). Model ini merupakan satu model pelbagai dimensi yang boleh dipercayai dan disahkan mempunyai kesahan yang tinggi. Inventori ini pula berbentuk soal selidik yang terdiri daripada 104 item yang bertujuan untuk mengenal pasti 24 unsur berhubungkait dengan pengaruh persekitaran, emosi, sosial, fisiologi, dan psikologi yang diperlukan dalam membantu proses pembelajaran yang berkesan .
KAJIAN-KAJIAN LEPAS
Kemudian, Zamri Mahamod & Mohamad Amin Embi (2005) dalam kajiannya merumuskan bahawa pelajar yang cemerlang lebih banyak menggunakan strategi pembelajaran bahasa dalam kemahiran membaca ketika belajar Bahasa Melayu di dalam kelas. Pelajar cemerlang bukan sahaja menggunakan strategi yang berkaitan dengan kemahiran membaca secara langsung, bahkan juga strategi yang tidak berkaitan dengan kemahiran membaca. Pernyataan ini selaras dengan kajian Mohamed Amin, Mohd Isa, Zamri dan Jamaludin (2002), Hamidah, Melor dan Norzini (2002)serta Zamri dan Mohamed Amin (2003a). Malahan, Mohamed Amin et al. (2002) dalam kajiannya melaporkan bahawa pelajar cemerlang yang dijadikan sampel kajian lebih banyak menggunakan strategi pembelajaran bahasa dalam kemahiran membaca ketika belajar Bahasa Melayu di dalam Kelas.
Hansen (1969) dalam kajiannya telah menggabungkan empat faktor yang berkaitan dengan persekitaran rumah. Faktor-faktor tersebut ialah:
i. Terdapat atau tidak bahan bacaan yang sesuai di rumah.
ii. Masa yang diperuntukan bagi membaca kepada kanak-kanak.
iii. Masa yang diperuntukan bagi membimbing dan menggalakkan kanak-kanak membaca.
iv. Sama ada ibu bapa m,enjadi contoh atau model yang baik kepada kanak-kanak.
Pernyataan ini dikukuhkan lagi oleh kajian (Doman 1990), tabiat seseorang membaca dipupuk secara berterusan semenjak awal lagi. Menurut Doman semakin awal kanak-kanak didedahkan kepada bacaan, semakin mudah dan cepat bagi seseorang untuk membaca. Umur 1 hingga 6 tahun merupakan tahun yang kritikal dalam merangsang minat membaca anak-anak. Menurut Doman seseorang kanak-kanak boleh membaca perkataan yang mudah semasa mereka masih berumur satu tahun. Mereka boleh membaca ayat yang mudah semasa mereka berumur dua tahun. Sementara itu, mereka boleh membaca seluruh buku semasa mereka masih berumur tiga tahun.
Pernyataan ini kemudian disokong oleh Hiebert (1981) telah menjalankan satu kajian mengenai kefahaman murid-murid prasekolah dengan apa yang dibaca oleh orang dewasa. Sampel kajian telah diberi sebuah buku bersama gambar dan perkataan.Kemudian, sampel kajian ditanya apakah yang sedang dibaca dan hasil dapatan menunjukkan bahawa kanak-kanak yang berumur tiga tahun sedang membaca gambarajah.
Kemudian kajian Marjoribanks (1994) pula ke atas 500 pelajar di Australia mendapati pencapaian akademik mereka di pengaruhi oleh persekitaran keluarga, atribut peribadi seperti daya intelek, taraf sosioekonomi dan faktor sosial. Seterusnya persekitaran keluarga juga mempengaruhi sikap tingkah laku pembelajaran anak-anak. Keakraban dan orientasi keluarga juga didapati sangat mempengaruhi perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak.
Melalui kajian jangka panjang dijalankan oleh Marjoribanks (1994) ke atas 516 orang pelajar di Australia pada peringkat umur 11 hingga 16 tahun menunjukkan persekitaran keluarga penting bagi menentukan pencapaian akademik pelajar. Aspirasi remaja yang digambarkan melalui kebolehan yang tinggi dan kekuatan kognitif, berkait rapat dengan sokongan ibu bapa dalam pembelajaran. Sementara itu Moos dan Moos (1993) mendapati keakraban dan orientasi intelektual keluarga sangat mempengaruhi perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak.
Selain itu kajian Clephane (1990) terhadap pelajar kulit hitam di Amerika Syarikat mendapati pemboleh ubah persekitaran keluarga, iaitu tahap keakraban yang tinggi, sokongan, pernyataan perasaan dan kawalan, mempunyai hubungan yang rapat dengan pencapaian akademik. Ini menunjukkan keluarga memainkan pengaruh yang berkesan dalam membentuk dan mengawal kanak-kanak seterusnya meningkatkan pencapaian akademik mereka.
Kajian ini diskukuhkan lagi oleh Ensminger dan Slusarcick (1992) menjalankan satu kajian jangka masa panjang untuk melihat hubungan antara pencapaian akademik, latar belakang keluarga dan persekitaran keluarga. Subjek kajian terdiri daripada 1242 orang pelajar gred 1 orang kulit hitam di Chicago. Keputusan menunjukkan latar belakang seperti kemiskinan memainkan peranan penting. Begitu juga penglibatan keluarga dengan sekolah. Remaja dari keluarga yang mempunyai peraturan ketat terhadap kerja sekolah di rumah dilaporkan lebih berjaya dalam pencapaian akademik daripada mereka yang mempunyai ibu bapa yang tidak begitu tegas.
Kajian yang dijalankan Fraser (1959) dan Taha (1977) pula mendapati persekitaran rumah tangga boleh mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak mereka. Kajian Justice dan Calvert (1990) mendasarkan pendekatan sistem keluarga, ingin melihat faktor-faktor persekitaran keluarga yang berhubungkait dengan penganiayaan kanak-kanak. Faktor-faktor persekitaran keluarga yang dipersepsikan itu termasuklah kohesif, ekspresif, konflik, kebergantungan, orientasi pencapaian organisasi dan kawalan. Keputusan kajian menunjukkan wujudnya hubungan yang signifikan antara tekanan yang diterima oleh keluarga yang menganiaya anak dan keluarga yang tidak menganiya anak.
Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan pengetahuan dan pengalaman terhadap setiap perkataan. Oleh yang demikian, mereka mesti belajar strategi untuk memahami teks seperti mereka belajar untuk makan (Susan & Louisa, 1999). Sebelum belajar membaca, mereka harus dilengkapi dengan tiga maklumat yang penting. Tiga perkara yang perlu diketahui ialah kesedaran terhadap percetakan, pengetahuan mengenai abjad dan kesedaran terhadap ilmu fonemik.
Ada kajian-kajian yang membuktikan bahawa murid-murid yang berjaya mempunyai amalan atau kebiasaan yang berbeza jika dibandingkan dengan yang kurang berjaya. Rohaty (1989) telah menyatakan pemboleh ubah yang mempengaruhi pembelajaran meliputi murid itu sendiri (termasuk motivasi, keupayaan, umur, jantina dan pengalaman lepas) dalam kajiannya. Selain daripada itu juga terdapat perlakuan lain yang diamalkan oleh mereka yang berjaya dan boleh dicontohi pula oleh murid-murid yang kurang berjaya. Perlakuan-perlakuan yang positif ini seperti berusaha menanamkan keyakinan diri, mengelakkan gangguan bising, belajar ketika rasa segar iaitu selepas rehat seketika, melengkapkan semua tugasan dan mengamalkan pergaulan dengan rakan-rakan sebaya.
Susabda (1992) pula telah membuat satu kajian bagi meninjau sama ada terdapat perbezaan pencapaian akademik yang signifikan mengikut gaya pembelajaran murid. Selain itu untuk mengenal pasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan gaya pengajaran guru. Hasil kajian telah mendapati bahawa murid yang berpencapaian rendah akan mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan daripada murid yang berpencapaian tinggi.
Kemudian, Entwistle dan Entwistle (1970) telah menjalankan kajian di Lancester. Tujuan mereka ialah untuk mengkaji perbezaan cara belajar yang menjadi amalan di kalangan murid-murid yang berjaya dan gagal dalam akademik. Hasil kajian itu menunjukkan bahawa murid yang berjaya ternyata lebih bijak mengatur dan menggunakan masa mereka untuk belajar dengan lebih berkesan. Mereka dikatakan selalu menyelesaikan tugasan dalam masa yang ditetapkan. Mereka juga mempunyai motivasi belajar yang lebih tinggi dan kaedah belajar yang berkesan jika dibandingkan dengan pelajar yang gagal.
Pizzo (1981) telah menjalankan satu kajian eksperimen pengujian berasaskan persepsi murid dalam pembelajaran di 64 buah sekolah rendah bagi mengenal pasti gaya belajar murid gred 6 di Amerika Syarikat. Dalam hal ini murid ditempatkan dalam persekitaran sekolah yang responsif atau yang antagonistik kepada gaya belajar mereka. Dapatan kajiannya menunjukkan apabila murid dipadankan kecenderungannya sama ada suka kepada bunyi-bunyian atau senyap, keputusan markah yang signifikan dalam bacaan dan sikap adalah tinggi. Manakala bagi murid yang tidak berpadanan pula didapati signifikan pencapaiannya di bawah murid yang berpadanan .
Kemudian Shea (1983) membuat kajian di kalangan murid gred 9 bagi mengenal pasti kesukaan murid dalam pembelajaran dan mengambil ujian dalam keadaan formal ada kerusi dan meja berlawanan dengan yang tidak formal duduk di atas lantai, baring disofa. Dapatan daripada kajiannya juga menunjukkan apabila gaya belajar mereka berpadanan sebagaimana yang dikenal pasti, signifikan statistiknya menunjukkan keputusan markah bacaan lebih tinggi, bagi gaya belajar mereka yang tidak berpadanan pula menunjukkan pencapaiannya kurang dari segi statistik berbanding dengan mereka yang berpadanan .
Kajian terhadap gaya pembelajaran yang meluas telah menunjukkan dapatan yang amat merangsangkan. Copenhaver (1979) dan Pizzo (1981) telah mendapati bahawa sikap terhadap pelajaran yang semakin baik apabila murid-murid belajar mengikut gaya pembelajaran masing-masing.
Pendapat ini kemudiannya disokong oleh Asiah (1999) telah menjalankan kajian untuk mengenal pasti tahap pencapaian akademik dan gaya pembelajaran di kalangan 97 orang pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dapatan kajian menunjukkan tiada hubungan antara pencapaian akademik dengan gaya pembelajaran pelajar.
Kemudian Melara (1996) dalam kajiannyua terhadap 40 orang pelajar kolej bagi melihat kesan gaya pembelajaran terhadap pencapaian akademik mereka. Hasil dapatan menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar.
Hadiah (1977) pula melaporkan bahawa minat murid terhadap mata pelajaran Sejarah akan menentukan tahap pencapaiannya. Beliau juga mendapati faktor jantina mempengaruhi cara belajar, sikap , minat, dan kaedah pembelajaran
Selain itu kajian Mcgowan (1998) ke atas 68 orang pelajar Afrika Amerika dari fakulti Teknologi Perindustrian Universiti Missisippi menunjukkan tidak terdapat hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik. Dapatan yang sama juga telah diperolehi oleh Cavanagh dan Stephen (1995) dalam kajiannya ke atas 192 orang pelajar jururawat dengan menggunakan Inventori Gaya Pembelajaran Kolb. Beliau telah mendapati bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian.
Malahan Rihan (2002) mendapati kajian terhadap 241 orang murid Tingkatan Empat yang mengambil mata pelajaran Prinsip Akaun di Daerah Klang, Selangor berkaitan hubungan antara strategi pembelajaran dengan pencapaian pelajar bagi mata pelajaran tersebut. Dapatan kajian kemudian menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan antara strategi pembelajaran dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran Prinsip Akaun. Kajian juga menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan strategi pembelajaran dengan pencapaian pelajar mengikut jantina, etnik dan lokasi.
Kemudian akhir sekali Abd. Aziz (2001) telah menjalankan kajian ke atas 447 orang pelajar dari enam buah sekolah di daerah Sri Petaling dan daerah Kuala Langat, Selangor yang melihat hubungan antara gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian dalam mata pelajaran Geografi. Hasil kajiannya kemudian menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian dalam mata pelajaran Geografi dan juga tidak terdapat perbezaan gaya pembelajaran terhadap jantina dan lokasi murid.
Hasil perbincangan mengenai teori dan tinjauan kajian-kajian yang berkaitan jelas menunjukkan bahawa terdapat banyak kajian yang telah dibuat berkaitan dengan persekitaran keluarga dan gaya pembelajaran serta hubungannya dengan pencapaian akademik murid secara amnya. Malahan kebanyakan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara persekitaran keluarga dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik murid. Selain itu terdapat juga beberapa kajian di Malaysia mengenai kemahiran membaca dikalangan murid dan kaitannya dengan persekitaran dan didapati persekitaran keluarga mempengaruhi kemahiran memnaca muri-murid.
Subscribe to:
Posts (Atom)