Jenis-Jenis Lagu
Kanak-kanak sangat suka
menggunakan alat muzik. Malahan kanak-kanak yang kreatif sering menggunakan
alatan persekitaran mereka sebagai alatan muzik. Kanak-kanak menterjemahkan
rasa sedih dan kegembiraan mereka melalui muzik yang dimainkan. Alatan muzik yang
boleh dimainkan kanak-kanak adalah seperti alat perkusi seperti rattle,
genderang, tamborin dan alat muzik berpic seperti piano dan rekorder.
Terdapat pelbagai jenis lagu,
namun begitu bagi guru-guru, ibu bapa atau penjaga yang mahu menggunakan muzik
dalam aktiviti kanak-kanak, mereka perlu bijak memilih jenis lagu dan muzik
yang bersesuaian dengan kanak-kanak bagi memastikan aspek perkembangan
kanak-kanak dari sudut bahasa, intelek, kreativiti, psikomotor dan afektif
berkembang dengan baik.
Terdapat pelbagai jenis lagu
seperti permainan jari, lagu beraksi, lagu tradisional, lagu permainan, lagu
unsur nasihat dan ucapan serta lagu serantau.
Permainan Jari
Lagu berbentuk permainan jari ini
sesuai dijalankan oleh kanak-kanak kecil kerana ianya melibatkan pergerakan
jari dekat dengan paras mata kanak-kanak. Contoh lagu, 'Satu Labah-Labah'.
Lagu Beraksi
Lagu beraksi memerlukan
kanak-kanak melakukan aksi sambil menyanyi. Pergerakannya lebih mudah mengikut
senikata dan lirik lagu. Contoh lagu, 'I'm A Little Teapot'.
Lagu Tradisional
Lagu tradisional sering
menggambarkan kebudayaan dan nilai-nilai sesuatu bangsa dan negara. Lagu-lagu
sebegini banyak menyelitkan unsur-unsur nasihat, jenaka dan nilai-nilai yang
baik kepada kanak-kanak. Contoh lagu, 'Ikan Kekek'.
Lagu Permainan
Lagu berbentuk permainan
melibatkan aktiviti pergerakan dan permainan. Kanak-kanak sangat menyukai lagu
permainan kerana ia lebih menyeronokkan. Contoh lagu, 'Nenek-Nenek Si Bongkok
Tiga'.
Lagu Berunsur Nasihat dan Ucapan
Lagu-lagu ini mengandungi
penerapan nilai-nilai murni dan berunsur nasihat. Liriknya banyak mengandungi
nasihat yang boleh dijadikan panduan oleh kanak-kanak. Contoh lagu, 'Lompat Si
Katak Lompat'.
Lagu Serantau
Lagu jenis ini menyelitkan unsur
kebudayaan sesuatu kaum atau mengikut daerah sesuatu negeri atau negara. Ianya
sering dinyanyikan mengikut loghat atau dialek sesuatu kawasan. Contoh lagu,
'Jambatan Tamparuli'.
Rujukan : Azila Binti Alias, Loy
Chee Luen, Mazlina Binti Che Mustafa dan Norly Binti Jamil (2011), Muzik dan
Perkembangan Kanak-Kanak, Gerak Ilmu Sdn. Bhd.